KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mengambil langkah sama dilaksanakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang memutuskan COVID-19 bukan lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.
Beberapa pakar epidemiologi berpandangan, KKM lebih wajar menumpukan seluruh perhatian kepada isu kesihatan awam lain, berbanding kepada COVID-19 semata-mata.
Profesor Epidemiologi dan Biostatistik, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata dalam tahap liputan dan keberkesanan vaksin COVID-19 yang baik ketika ini, KKM wajar menuruti langkah yang dilaksanakan badan antarabangsa itu.
“Pengekalan status dan prosedur operasi standard (SOP) berkemungkinan bertujuan mengawal jangkitan wabak supaya tidak kembali serius.
“Namun, apa yang lebih mustahak pada ketika ini ialah KKM mengembalikan fokus kepada isu berkaitan nikotin dan kawalan peraturan sedia ada, yang nampak semakin longgar.
“Ini adalah yang sebaiknya jika KKM mahu dilihat mementingkan kesihatan dan pihak terbabit wajar menunjukkan ketegasan melaksanakan undang-undang sedia ada,” katanya kepada BH.
Semalam, KKM memutuskan SOP sedia ada berkaitan COVID-19 akan diteruskan seperti biasa walaupun WHO memutuskan wabak itu bukan lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata,
KKM akan meneruskan langkah perlindungan kawalan atau SOP sedia ada sehingga keputusan muktamad dibuat sama ada untuk mengikut saranan WHO atau sebaliknya.
Mengulas lanjut, Jamalludin berkata, ekoran pengekalan status COVID-19 sedia ada itu mungkin memberi kesan kepada pengekalan peraturan memakai pelitup muka di institusi rawatan kesihatan berikutan ia bertujuan mengawal jangkitan penyakit.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi, berkata pengisytiharan oleh WHO itu tidak bermakna COVID-19 tidak lagi menjadi ancaman.
Beliau berkata, ia dibuat atas beberapa kriteria, iaitu ia peristiwa luar biasa dan peristiwa itu menimbulkan risiko kesihatan awam yang memerlukan tindak balas segera yang diselaraskan antarabangsa.
“Persoalan mengapa COVID-19 bukan lagi Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) dan sebab WHO memutuskannya bukan lagi kecemasan berikutan COVID-19 tidak lagi memenuhi kriteria itu.
“Bagaimanapun dengan pengisytiharan itu COVID-19 atau SARS-Cov2 bukan tidak lagi berbahaya lagi. Memandangkan COVID-19 adalah ‘novel disease’, banyak tidak diketahui mengenai penyakit ini.
“Semakin banyak kita belajar mengenai COVID-19 dan Long COVID-19, semakin jelas bahawa kita perlu mengelakkan jangkitan dan jangkitan semula (re-infection),” katanya.
Mengulas lanjut, Prof Noran Naqiah berkata, walaupun COVID-19 tidak lagi diisytihar kecemasan kesihatan global, setiap individu tetap perlu mengambil semua langkah bagi mencegah jangkitan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata COVID-19 perlu ditangani seperti penyakit berjangkit yang lain kerana keadaan sekarang menunjukkan tahap yang baik.
“Keadaan sekarang bukan seperti era pandemik yang liputan vaksin belum meluas. Jadi, apabila keadaan yang kini endemik, kerajaan wajar menumpukan isu lain seperti nikotin, strok haba dan isu denggi serta lain-lain yang serius,” katanya. BH