Kereta gagal memintas, dua penunggang motosikal maut

PASIR PUTEH — Dua maut dalam kejadian berasingan di daerah ini membabitkan kemalangan dirempuh kereta memintas, semalam.

Dalam kejadian pertama, Mohamad Azrol Kamaruzzaman, 23, meninggal dunia selepas dirempuh kereta di KM 42.2 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu dalam kejadian jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, berkata kereta dipandu lelaki berusia 21 tahun dari Kota Bharu itu dipercayai cuba memintas kenderaan di hadapannya namun gagal sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

Katanya, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

“Dalam kes berasingan, nahas jam 6.30 petang turut membabitkan dua kenderaan kereta dan motosikal.

“Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Nik Nasuha Nik Abdullah berusia 34 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan di KM 22.5 Melawi ke Kuala Besut itu dipercayai berpunca apabila pemandu kereta berusia 29 tahun gagal memintas kenderaan di hadapannya lalu melanggar mangsa dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BH