(Foto hiasan) |
KUALA LUMPUR — Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu RM8,000 bagi simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga tahun 2024.
Keputusan itu diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara hari ini, sehari selepas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi memaklumkan, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu hingga RM8,000 mulai Tahun Taksiran 2023.
Perdana Menteri yang mengumumkan demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, menegaskan beliau bersetuju melanjutkan pelepasan cukai berkenaan selepas mendengar keresahan disuarakan rakyat dan teguran kepada kerajaan.
“Jumlah ini bukan jumlah B40. Ini jumlah pendapatan orang yang lebih sederhana. Bagaimanapun, kerana maksudnya adalah pendidikan dan belanja pendidikan kian meningkat, sebab itu kita beri kelonggaran ini,” katanya. BH