Kerajaan ada 15,000 kerja kosong setiap tahun – SPA

Zainal Rahim (tengah) menyampaikan sijil penghargaan rakan strategik kepada wakil Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk A Rahim Nin (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Pusat Temu Duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Johor Baharu, Johor di Galleria, Kotaraya hari ini. - foto BERNAMA

JOHOR BAHRU — Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menganggarkan secara purata sebanyak 15,000 kekosongan jawatan tetap perlu diisi setiap tahun.

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata bagi kekosongan jawatan secara kontrak pula dianggarkan mencecah 40,000 setiap tahun.

Jumlah kekosongan jawatan itu bergantung kepada keperluan jabatan, kementerian dan agensi.

“Angka kekosongan ini sentiasa naik dan turun bergantung jabatan, kementerian dan agensi. Kekosongan perlu diisi kerana setiap tahun ada kakitangan awam pelbagai jawatan yang bersara.

“Dianggarkan kira-kira 25,000 hingga 30,000 kakitangan awam bersara setiap tahun, dan kita isi (kekosongan) mengikut keperluan tertentu.

“Bagi jawatan baru bergantung kepada portfolio kementerian masing-masing. Contohnya ada kementerian yang perlukan jawatan baru, terdapat isu lantikan seperti doktor kontrak ke jawatan tetap.

“Kementerian merancang kekosongan, bagi (maklumat) dekat SPA. Apabila sudah pasti berapa angka yang diperlukan, bincang syarat dan tapisan. SPA tidak boleh isi semua kerana ia bersabit dengan keperluan kewangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA Johor di Pusat Transformasi Bandar (UTC), hari ini.

Pusat Temu Duga SPA Johor menerima kunjungan calon paling ramai setiap tahun. Berdasarkan statistik SPA pada tahun 2020 hingga Jun 2023, seramai 472,947 permohonan diterima dalam kalangan anak muda Johor. Daripada jumlah itu, seramai 32,478 telah dijemput menghadiri temu duga.

“Seramai 22,638 telah menghadiri temu duga dan seramai 4,374 orang dilantik tetap dan 2,639 orang dilantik secara kontrak.

“Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru adalah pusat temu duga keenam yang ditempatkan di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) selain di Ipoh, Perak, Georgetown, Pulau Pinang, Kangar, Perlis, Miri dan Kuching, Sarawak,” katanya.

BH Online