KUANTAN — Seorang jurukimpal di daerah ini kerugian RM183,600 akibat diperdaya sindiket Love Scam, selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi Facebook, lapor BH Online semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dipetik berkata disebabkan sayang dan merancang untuk berkahwin, lelaki berusia 55 tahun itu sanggup membuat pinjaman peribadi.
Katanya, selain itu, mangsa turut mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Berdasarkan laporan, mangsa berstatus duda yang kematian isteri berkenalan dengan seorang wanita melalui Facebook pada Januari lalu.
“Mangsa berkenalan dengan lebih rapat dan berbincang untuk berkahwin. Pada awal Februari lalu, mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian ke akaun suspek berjumlah RM25,600.
“Ia bertujuan wang itu digunakan untuk pembayaran kos kiriman wang AS$600,000 untuk perbelanjaan perkahwinan mereka,” katanya dalam kenyataan semalam sebagaimana dipetik.
Ramli berkata, selepas itu, mangsa membuat 10 kali transaksi pembayaran kepada dua akaun bank yang berbeza sebagai penambahan perbelanjaan perkahwinan.
Katanya, mangsa kemudiannya terus didesak untuk memasukkan RM30,000 untuk tujuan bayaran kepada Bank Negara bagi menyelesaikan masalah kiriman wang terbabit tetapi mangsa enggan berbuat demikian dan mulai curiga sebelum tampil membuat laporan polis.
“Laporan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramli menasihati masyarakat supaya lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan gambar profil yang cantik dan tampan.
Katanya, pengguna juga perlu berhati-hati menerima rakan menerusi laman sosial terutama kenalan yang dikatakan dari luar Negara.
“Masyarakat juga dinasihatkan tidak memberi pinjam atau memasukkan wang ke dalam akaun individu tidak dikenali,” katanya.