Kelindan maut, lori tiga tan rempuh belakang treler

TELUK INTAN — Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan mereka melanggar belakang sebuah treler di Jalan Sungai Manik, di sini, awal pagi tadi.

Kelindan lori tiga tan yang dikenali sebagai Nasir Imran, 60 tahun, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori, Mohammad Faiz Abdullah, 25, mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.29 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik jentera tiba, didapati kelindan lori tiga tan tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori mengalami kecederaan.

“Mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Teluk Intan menggunakan ambulans bagi menerima rawatan.

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa maut yang tersepit menggunakan peralatan khas.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat jam 4.05 pagi,” katanya. BH