Kegembiraan 20 pelajar mandi tasik tukar tragedi, seorang lemas

KOTA KINABALU — Kegembiraan sekumpulan pelajar bermandi-manda di sebuah tasik berhampiran Residensi Menggatal, dekat sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.

Mangsa, Hazwi Danial A Rashid, 14, ditemui pada jam 2.48 petang tadi di dasar tasik dengan kedalaman kira-kira empat meter itu.

Pelajar lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 2.53 petang oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa dikatakan bermandi-manda di tasik terbabit bersama 19 rakan lain sebelum didapati tenggelam.

Seorang rakan mangsa, Adi Iskandar Abdullah, 14, dilaporkan turut tenggelam tetapi berjaya dijumpai dan diselamatkan pelajar lain dengan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.44 tengah hari tadi.

Susulan itu, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Kinabalu bergegas tiba di lokasi pada jam 12.51 tengah hari. Tiga petugas KKM turut ke tempat kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan dengan diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd Faizal Alias.

Berdasarkan maklumat awal, beliau berkata, dua mangsa dikatakan tenggelam dalam tasik ketika bermandi-manda bersama rakan membabitkan sekumpulan 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, di sini.

“Mangsa pertama berjaya diselamatkan dan diberi bantuan CPR oleh rakan sehingga sedar,” katanya.

Beliau berkata, pasukan SAR kemudian berjaya menemui mangsa kedua sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang.

BH ONLINE