Kadar pemberhentian tinggi kakitangan Prasarana membimbangkan – Loke

(Foto hiasan)

SUBANG JAYA — Kementerian Pengangkutan mengakui kadar pemberhentian agak tinggi dalam kalangan kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai situasi yang membimbangkan.

Justeru, Menterinya, Anthony Loke, berkata pihaknya percaya terdapat keperluan supaya gaji dan faedah kakitangan Prasarana dikaji semula bagi memastikan mereka memperoleh bayaran setanding pasaran.

Ini kerana, katanya, kajian mendapati sebahagian besar mereka terutama dari bahagian teknikal yang meninggalkan syarikat itu sebelum ini, lebih tertarik dengan tawaran yang diberikan negara luar termasuk di Singapura.

“Pada 2022 seramai 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan, satu ‘turnover rate’ (kadar pemberhentian) yang agak tinggi. Untuk Rapid Rail adalah enam peratus, manakala Rapid Bus mencecah 11 peratus. Ini situasi membimbangkan.

“Majoriti mereka meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura dan Timur Tengah.

“Menjadi tanggungjawab Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja berkemahiran tinggi sentiasa dijaga, di mana terdapat keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada supaya setanding pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat Kompleks Penyelenggaraan Laluan Kelana Jaya untuk melihat sendiri kerja penyelenggaraan tren dan bersama dengan kakitangan teknikal Rapid Rail.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah menilai semula bayaran gaji dan faedah khususnya membabitkan kumpulan mahir ini penting bagi memastikan persediaan lebih baik kepada mereka, selain mewujudkan daya saing dalam syarikat.

Enam insentif penambaikan faedah kakitangan Prasarana

Sementara itu, Loke pada majlis sama turut mengumumkan enam insentif penambahbaikan faedah kepada kakitangan Prasarana termasuk kenaikan gaji kepada kakitangannya sebanyak empat hingga 10 peratus berdasarkan skor prestasi kerja.

“Selain itu, penambahbaikan kadar elaun syif sebanyak 36.3 peratus daripada RM11 kepada RM15 sehari bagi syif siang dan 53.8 peratus iaitu daripada RM13 kepada RM20 sehari bagi syif malam, dilaksana khususnya kepada kumpulan barisan hadapan dan kakitangan bukan eksekutif membabitkan 2,800 warga Prasarana.

“Khas buat warga Rapid Bas, penambahbaikan kadar elaun pemanduan sebanyak RM10 sehari akan memberi manfaat kepada 2,300 kapten bas.

“Penambahbaikan ini menyumbang kepada peningkatan purata pendapatan kasar bulanan kapten bas sebanyak RM220,” katanya.

Turut diumumkan, pelaksanaan elaun pasaran interim dengan kadar minimum RM200 bagi kumpulan teknikal terdiri juruteknik kanan dan jurutera seramai 590 kakitangan.

“Saya juga difahamkan Lembaga Pengarah sudah meluluskan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan daripada 15 peratus kepada 16 peratus bagi pekerja yang sudah berkhidmat lima tahun dan ke atas.

“Selain itu, penambahbaikan manfaat perlindungan perubatan bagi kemasukan ke hospital daripada perlindungan individu kepada perlindungan keluarga di semua peringkat juga sudah diluluskan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kadar penggunaan pengangkutan awam negara mencatatkan peningkatan semakin baik, sekali gus menunjukkan pemulihan kembali industri selepas terkesan teruk dengan COVID-19.

“Saya dimaklumkan pada 21 Mac lalu, jumlah penggunaan harian rel and bas sudah mencecah lebih sejuta orang. Ini pencapaian memberangsangkan bukan saja buat Prasarana tetapi juga kementerian,” katanya. BH