JPA tetap taja pelajar perubatan sedia ada hingga 2027

KUALA LUMPUR — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetap meneruskan penajaan pendidikan kepada pelajar perubatan sedia ada sehingga 2027 dan perkara berkaitan pemberhentian tajaan hanya tertumpu kepada pengambilan baharu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad, berkata keputusan penajaan mengambil kira banyak faktor bagi memenuhi keperluan guna tenaga sektor awam dan negara.

“Ini bermaksud kita tidak hentikan terus penajaan pendidikan kepada bidang perubatan terutama pelajar mengikuti pengajian perubatan, pergigian dan farmasi, sebaliknya pelajar sedia ada tetap ditaja.

“Pelajar bidang perubatan masih boleh mendapatkan tajaan pendidikan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.

“Jadi JPA tidak membuat pemberhentian tetapi penajaan bagi bidang berkenaan tidak diberikan seperti biasa. Sebagai contoh, kita tetap taja pelajar bidang lain, cuma bukan untuk pelajar baharu bidang perubatan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, dilaporkan berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.

Katanya, bekalan pegawai perubatan pada tahun 2021 dicatatkan berjumlah 72,812, berbanding permintaan iaitu berjumlah 70,721.

Sehubungan itu, bekalan pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada 2025 dan 2029 dan pelajar dalam tanggungan JPA tetap ditaja sehingga 2027.

Zulkapli berkata, menjelang 2027, JPA akan melihat kembali keperluan penajaan kepada pelajar pada tahun berkenaan sama ada perlu atau sebaliknya.

“Ini kerana kita tidak mahu taja, tetapi akhirnya mereka tidak dapat kerja dengan kerajaan.

“Penajaan kita akan diteruskan mengikut bidang diperlukan dan kita menyasarkan pembiayaan itu kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan B40,” katanya.

Untuk rekod, kajian dilaksanakan KKM mendapati ada kesukaran untuk menyerap keseluruhan pelajar perubatan tajaan kerajaan ke dalam perkhidmatan awam.

Kos penajaan seorang pelajar perubatan membabitkan antara RM300,000 hingga RM400,000 iaitu sama dengan kos menaja 10 pelajar bidang lain. BH