JOHOR BAHRU — Johor menerima 9.14 juta pelancong sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022, yang juga jumlah tertinggi berbanding negara ASEAN lain.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri juga optimis untuk mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong untuk tahun ini.
Justeru, beliau berkata, menerusi kerjasama dan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi berkaitan, misi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara mampu direalisasikan.
“Kerajaan Johor menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing kerana bersetuju menyalurkan peruntukan RM3.5 juta bagi kerja menaik taraf infrastruktur kawasan pelancongan di Johor.
“Johor adalah negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, termasuk dengan keindahan pulau, taman negara, warisan budaya dan sejarah, festival ikonik serta syurga makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Onn Hafiz berkata, sebagai contoh, daerah Mersing yang terkenal dengan keindahan pulau, taman negara yang kaya dengan khazanah alam dan Kampung Sungai Melayu boleh dijadikan sebagai ekopelancongan, antara lokasi mampu diketengahkan.
BH Online memetik BERNAMA