KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 28 Februari depan untuk pendengaran permohonan pihak pembelaan untuk menggantung perbicaraan kes lelaki warga Israel Avitan Shalom atas dua pertuduhan berkaitan senjata dan peluru.
Hakim K Muniandy menetapkan perkara itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan terhadap permohonan tersebut hari ini.
“Mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi permohonan ini pada 20 Januari dengan pihak pendakwaan (responden) perlu memfailkan afidavit jawapan sebelum 28 Januari. Sekiranya ada afidavit balasan daripada pihak perayu (pembelaan), mereka perlu memfailkannya pada atau sebelum 10 Februari,” katanya.
Ketika prosiding hari ini, peguam Muhamad Aiman Haziq yang mewakili Avitan selaku perayu berkata, pihaknya tetap bertegas untuk perbicaraan ditangguhkan kerana jurubahasa yang disediakan tidak berkelayakan.
“Kami percaya permohonan ini tidak akan menjejaskan kes responden. Kami juga ingin merekodkan bahawa permohonan kami bukan untuk menangguhkan perbicaraan dan permohonan ini tidak berniat jahat,” katanya.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya V Suloshani dalam hujahan balas selaku responden memberitahu pihaknya membantah permohonan pihak pembelaan untuk menggantung perbicaraan itu.
“Bagaimana jurubahasa yang disediakan tidak layak sedangkan jurubahasa belum lagi bercakap dengan tertuduh,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Sesyen telah melapangkan perbicaraan kes Avitan Shalom yang ditetapkan sepanjang bulan ini yang mana penangguhan dibuat kali ketiga.
Hakim Norina Zainal Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk kes itu ditangguhkan bulan ini berikutan terdapat isu jurubahasa Ibrani yang masih menjadi pertikaian.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara jam 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lalu.
BH ONLINE