Insiden kecoh di KLIA: Ikuti penjelasan menteri

KUALA LUMPUR — Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.

Katanya, wanita itu ditahan kerana didakwa tidak mempunyai butiran tempat tinggal dan tiada tiket pulang semula ke negara asal.

Bagaimanapun, katanya, butiran berkenaan sebenarnya tersimpan di dalam telefon bimbit milik wanita terbabit yang ketika itu dirampas oleh pegawai Imigresen.

“Saya cuma mahu tanya pegawai Imigresen, kenapa dia merampas telefon orang sedangkan mereka tiada kuasa untuk melakukan rampasan barangan atau harta, melainkan ada kesalahan (yang terbukti).

“Macam kes wanita ini, dia bukan bebas disebabkan saya dan tiada alasan untuk menahannya. Cuma Imigresen kata dia tiada tempat tinggal dan ‘return ticket’, tetapi semua itu di dalam telefon bimbit itu (yang dirampas).

“Dia juga datang (masuk ke Malaysia) dengan orang atasannya,” katanya dalam satu video yang dikongsi di Facebooknya.

BH