KUALA TERENGGANU — Impian seorang penjawat awam bersama 14 ahli keluarganya menunaikan ibadah umrah tidak kesampaian, selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat pengendali pakej ibadat itu.
Semua mangsa yang berusia antara 10 hingga 70-an sudah membuat pembayaran RM7,920 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan kerugian bernilai hampir RM120,000.
Mangsa, Ahmad Kashfi Ab Rahman, 57, berkata dia bersama keluarganya membeli pakej umrah dengan syarikat yang beroperasi di Alor Setar, Kedah itu, sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada 28 Februari lalu.
Katanya, syarikat berkenaan kemudian memaklumkan penerbangan itu terpaksa ditunda dengan alasan tiada penerbangan pada tarikh berkenaan.
“Syarikat itu memberikan tarikh baharu pada 3 Mac lalu namun sekali lagi ia ditunda dan sehingga kini, tiada tarikh baharu yang diberikan malah cubaan kami menghubungi mereka juga gagal.
“Saya juga ada menghantar surat tuntutan melalui pos, emel dan WhatsApp kepada ibu pejabat syarikat berkenaan namun tidak mendapat sebarang maklum balas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Kashfi berkata, mereka berminat untuk mengambil pakej umrah dengan syarikat berkenaan kerana tertarik dengan tawaran syarikat berkenaan yang berjanji akan menguruskan rawatan hemodialisis abangnya, selain memberi perhatian kepada ibunya yang uzur.
“Tawaran itu yang membuatkan kami tertarik dan tidak sangka kami sekeluarga menjadi mangsa penipuan.
“Saya berharap kami mendapat kembali wang, selain berharap kejadian ini dapat membuka mata kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, laporan dibuat membabitkan sebuah agensi pengendali umrah di Alor Setar, Kedah namun pemindahan wang dilakukan di Terengganu.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. BH