BAITULMAQDIS — Seorang wanita Britain-Israel meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya dalam serangan tembakan pada Jumaat di Tebing Barat diduduki yang turut mengorbankan dua anak perempuannya, kata sebuah hospital di Baitulmaqdis.
“Kami mengumumkan dengan penuh kesedihan pemergian Lucy (Leah) Dee, mangsa serangan maut di Lembah (Jordan) Jumaat lalu,” kata hospital itu dalam satu kenyataan Isnin.
“Malangnya, walaupun usaha gigih dan tanpa henti, disebabkan kecederaannya yang kritikal, pasukan itu terpaksa menentukan kematiannya hari ini.”
Dee cedera parah dalam serangan di Lembah Jordan di Tebing Barat diduduki Israel yang mengorbankan dua anak perempuannya, berusia 16 dan 20 tahun, yang dikebumikan pada Ahad.
Tiga wanita itu adalah penduduk Efrat, sebuah penempatan haram di Tebing Barat.
Kemudian pada Jumaat seorang pelancong Itali terbunuh dan tujuh orang lain cedera dalam serangan disyaki rempuhan kereta ke atas pejalan kaki di pinggir laut Tel Aviv.
Keganasan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan ketika bulan puasa Ramadan, bertepatan Paskah Yahudi (Jewish Passover) dan Paskah Kristian (Christian Easter).
Pertumpahan darah itu susulan kejadian serbuan awal Rabu oleh polis rusuhan Israel di masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, tapak ketiga paling suci Islam. AN memetik AFP