Helikopter terbakar ketika mendarat di Bentong, 1 maut dan 1 selamat – Polis

KUALA LUMPUR – Sebuah helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger terbakar ketika mendarat di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong di Pahang dengan seorang disahkan maut, manakala seorang lagi terselamat.

Kejadian berlaku berdekatan kawasan kolam air panas ketika helikopter terbabit digunakan untuk kerja mengangkat bagi tujuan pemasangan kabel, dengan kebakaran menyebabkan pesawat musnah sepenuhnya.

Berdasarkan maklumat awal diterima, kebakaran berlaku sewaktu melakukan pendaratan, dengan helikopter tiba-tiba tidak dapat dikawal dan terbalik lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi media mengesahkan kejadian itu, namun tidak mengulas lanjut.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.39 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah helikopter pengangkut yang musnah terbakar 100 peratus ketika berada di darat.

“Seorang mangsa iaitu jurutera warga Indonesia disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) disyaki terkena bilah kipas, manakala juruterbang selamat.

“Kebakaran berjaya dikawal dan padam sepenuhnya jam 11.06 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

BH ONLINE