Harga daging tempatan ditetapkan RM41 sekilogram

BESUT — Harga daging lembu tempatan kecuali bahagian batang pinang ditetapkan pada RM41 sekilogram di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ia bagi mengawal kenaikan harga bekalan daging secara mendadak pada musim perayaan ini.

Katanya, bagi daging kerbau import pula, ia ditetapkan kepada RM20 sekilogram.

“Bagaimanapun terpulang kepada peniaga untuk menjual lebih rendah sama ada kurang RM2 atau RM3 daripada yang ditetapkan dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kasih Ramadan dan Sumbangan Agihan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Mlaaysia (SSM) dengan kerjasama Pertubuhan Kami Peduli Besut dan Pasar Raya PXR di Pekan Jabi, sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Pada majlis itu diagihkan Wakalah Zakat Korporat SSM berjumlah RM50,000 kepada 250 penerima asnaf serta bakul Rahmah sumbangan Pasar Raya PXR.

Salahuddin berkata, pengguna boleh membuat aduan sekiranya mendapati harga barangan di bawah SHMMP dijual lebih mahal daripada ditetapkan.

“Aduan perlu lengkap seperti berlaku di mana, nama kedai, bila berlaku dan beberapa soalan lain.

“Namun kita berharap peniaga dapat bekerjasama mematuhi arahan ditetapkan untuk mengelak mereka dikenakan tindakan saman terutamanya ketika mahu menyambut hari raya ini,” katanya.

Mengulas kouta minyak subsidi, Salahuddin berkata, keputusan Kabinet dan kementerian masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi 60,000 tan metrik sebulan.

“Keputusan dasar pengurangan atau peningkatan kouta subsidi minyak akan dibuat Kabinet atau kementerian sendiri.

“Kita pernah cuba untuk memohon meningkatkan kuota, tetapi masih menunggu jawapan pihak berkaitan,” katanya. BH