Seorang guru maut manakala suami serta anak kecilnya cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Kilometer 282.7, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Simpang Pulai, hari ini. NSTP/ Ihsan bomba Perak
IPOH — Seorang guru maut manakala suami dan anak kecilnya cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Kilometer 282.7, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Simpang Pulai di sini, hari ini.
Nahas jam 12.39 tengah hari itu mengorbankan Nor Zafirah Abdullah, 33, beralamat di Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai, Johor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata nahas berlaku apabila kereta Toyota Vios dinaiki tiga beranak itu terbabas di bahu jalan.
Katanya, kereta itu kemudian terbabas masuk ke dalam longkang berdekatan bahu jalan.
“Wanita berkenaan disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lelaki (suami) dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun masing-masing cedera ringan.
“Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menghantar mangsa yang cedera ringan ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan menyerahkan mayat mangsa maut kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi kemalangan selepas menerima maklumat kejadian.
BH Online