PASIR PUTEH — Seorang guru besar meninggal dunia apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Gerik, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Wan Ab Hisham Wan Noh, 55, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan berkonvoi bersama rakan untuk menyampaikan sumbangan Ramadan kepada anak yatim di Machang.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, berkata kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi, Perodua Kelisa dan motosikal Jenis Yamaha NVX.
Katanya, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Kelisa dipandu wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Machang ke Pasir Puteh, dirempuh kereta Perodua Myvi, yang dipandu lelaki berusia 39 tahun dari arah belakang.
“Rempuhan menyebabkan Perodua Kelisa dipandu wanita itu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggang mangsa,” katanya.
Zaizul Rizal berkata, mangsa cedera parah di bahagian kepala, manakala wanita itu cedera ringan dan pemandu serta penumpang Perodua MyVi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan ujian air kencing mendapati pemandu Perodua Myvi, positif Methamphetamine.
“Tangkapan sudah dibuat terhadap pemandu MyVi dan kenderaannya ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM. Kita juga sudah mengesan dan merakam percakapan saksi bebas,” katanya. BH