Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Butterworth. - Foto NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH — Jentera Barisan Nasional (BN) diminta mengetepikan persengketaan dengan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kemenangan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata untuk itu jentera BN perlu menutup buku lama dan membuka buku baharu termasuk pihak yang alah dengan lambang DAP iaitu roket bagi memperkukuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekarang mereka rakan kita dan kita rakan mereka, dulu saya alergi tengok roket dan dulu juga lawan tetap lawan tetapi sekarang buat apa kita terus berlawan yang masa ini kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, jentera UMNO, BN diminta ketepikan persengketaan dengan tutup buku lama dan buka buku baharu. Saya ingin berterima kasih kepada jentera UMNO Pulau Pinang yang mengatakan di mana sahaja calon Pakatan Harapan (PH) bertanding di situ jentera UMNO akan membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN mahu turut membantu kerajaan Pulau Pinang apabila menang pada PRN nanti.
“Lima belas tahun BN tak bersama kerajaan Pulau Pinang tetapi kemajuan pembangunan perindustrian berteknologi tinggi amat dikagumi selain Selangor. Asas kemajuan (Pulau Pinang) asal BN suatu ketika dahulu tetapi hakikatnya selepas 15 tahun Pinang semakin maju.
“Jadi, BN mahu turut membantu melalui menteri dari UMNO supaya dapat tarik pelabur ke Pulau Pinang termasuk mendukung Perdana Menteri yang kita mahu noktahkan kemiskinan tegar menerusi Kementerian Desa dan Wilayah,” katanya.
BH Online