AMPANG JAYA — Dua penarik kereta ditemui mati dalam sebuah kenderaan di Jalan Persiaran 9, Taman Ampang Saujana di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.18 petang.
“Pemeriksaan ke atas kereta terbabit mendapati enjin masih hidup dan semua pintu serta tingkap dalam keadaan tertutup.
“Ketika pintu hadapan di buka, terdapat dua lelaki di bahagian pemandu dan penunpang tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah warga tempatan berusia 30 tahun dan bekerja sebagai penarik kereta.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan si mati tidak menemui sebarang kecederaan. Pasukan perubatan yang tiba mengesahkan kedua-dua individu itu sudah meninggal dunia.
“Mayat mereka dibawa ke Hospital Ampang dan keputusan bedah siasat masih menunggu laporan makmal,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang elemen jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
BH ONLINE