DUNGUN — Perkelahan sekumpulan pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, dekat sini, pagi tadi.
Mayat mangsa, Ahmad Syahid Hamdan,19, dari Kampung Tuk Jembal, Kuala Nerus dan Muhammad Ridhwan Zawawi,19, dari Kampung Bukit Payung yang lemas pada kira-kira jam 11.20 pagi itu, ditemui pada kira-kira jam 12.15 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata sebelum kejadian itu, sekumpulan pelajar terbabit dari Kemaman datang berkelah di situ pada kira-kira jam 11 pagi.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan naik ke tingkat atas di kawasan berbatu di situ.
“Kedua-dua mangsa dikatakan terjun ke dalam air, manakala seorang lagi tidak berbuat demikian.
“Rakan mangsa tidak menyedari kedua-dua rakannya itu lemas dan tidak muncul di permukaan air kerana dilindungi kawasan berbatu di situ,” katanya.
Baharudin berkata, seorang pengunjung yang menyaksikan kedua-dua mangsa yang lemas, kemudian memaklumkan kepada rakannya yang berada di kawasan berbatu itu.
“Beberapa pengunjung yang berada di situ tidak berani memberi bantuan kerana air di kawasan itu berpusar dan sangat dalam.
“Orang ramai kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang segera memberi pertolongan,” katanya.
Baharudin berkata, polis yang menerima laporan kejadian itu, tiba bersama sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah bagi operasi menyelamat.
“Mayat pertama, Muhammad Ridhwan ditemui kira-kira jam 12.08 minit, manakala mayat Ahmad Syahid ditemui kira-kira jam 12.15 tengah hari pada kedalaman air kira-kira empat meter.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu,” katanya. BH