KUCHING — Dua kerani wanita di Miri kerugian hampir RM650,000 selepas terpedaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai bank.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata mangsa pertama berusia 62 tahun bertugas sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Miri menerima panggilan itu pada 17 April lalu.
Katanya, pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendakwa mangsa terbabit penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19.
Panggilan kemudian disambungkan kepada polis dari Kota Kinabalu di Sabah di mana mangsa berbual dengan beberapa pegawai termasuk ‘Inspektor Khoo’ dan ‘Sarjan Wong’ yang turut memberitahu akaun mangsa juga berkait kes jenayah di Kota Kinabalu.
Sehubungan itu, Mohd Azman berkata, suspek mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun itu untuk tujuan siasatan.
“Mangsa yang ketakutan mengikuti semua arahan itu termasuk menyerahkan butiran perbankan berserta kata laluan dalam talian kepada suspek.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semakan dengan pihak bank mendapati terdapat 31 transaksi pemindahan wang keluar antara 18 April hingga 5 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM496,962,” katanya.
Dalam kes berasingan, Mohd Azman berkata semalam seorang lagi kerani akaun sebuah syarikat swasta juga di Miri menjadi mangsa kes sama apabila diperdaya individu yang menyamar kakitangan Bank Negara Malaysia.
Mangsa, 59, didakwa membuat transaksi penggunaan wang meragukan ke akaun bank lain, sebelum diarah memberikan maklumat seperti nombor akaun bank, nama pengguna dan kata laluan.
“Mangsa menerima notifikasi pengeluaran wang RM49,999 dan diarahkan membuat pengesahan denagn alasan diberikan suspek wang itu dipindahkan sementara sehingga akaun bank selamat sebelum dikembalikan semula ke akaun asal.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada suami dan semakan dengan pihak bank mendapati 15 transaksi pemindahan wang berjumlah RM149,892 dari akaun miliknya ke akaun atas nama individu tidak dikenali,” katanya. BH