Dua beranak maut, kereta bertembung lori muatan kayu

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di KM37 Jalan Gua Musang-Jeli di sini semalam. - Foto NSTP/Ihsan PDRM

GUA MUSANG — Dua beranak maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung sebuah lori muatan kayu di Kilometer (KM) 37 Jalan Gua Musang-Jeli, petang semalam.

Dalam nahas 6.15 petang, mangsa Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, yang juga pemandu ambulans meninggal dunia selepas cedera di kepala, badan dan putus tangan kanan.

Anaknya, Muhammad Hasbullah, 15, yang berada di tempat duduk penumpang belakang, juga maut di tempat kejadian.

Seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera di dada dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian di mana keadaan jalan yang sedikit berselekoh, kereta Proton Saga dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan kayu.

“Akibat pertembungan itu, pemandu kereta dan anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang maut di tempat kejadian.

“Anaknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera di dada dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

BH Online