Dua beradik rugi RM658,000 diperdaya Phone Scam

(Foto hiasan)

KUALA TERENGGANU — Dua beradik masing-masing guru dan pesara swasta kerugian RM658,000 selepas diperdaya jenayah ‘Phone Scam’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian malang menimpa mangsa yang masing-masing berusia 56 dan 62 tahun itu, semalam.

Beliau berkata mangsa menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada pihak insurans dan pihak polis pada 28 Februari lalu.

“Pihak berkenaan memaklumkan maklumat diri mangsa disalahgunakan yang mana terbabit dengan kesalahan jenayah penggubahan wang haram dan dadah.

“Disebabkan alasan untuk membantu kedua-dua mangsa menyelesaikan kes, mangsa diminta membuka satu akaun bank lain dan diminta untuk mendedahkan maklumat akaun kepada sindiket.

“Kemudian kedua-dua mangsa diarahkan untuk membuat pemindahan wangnya ke dalam akaun yang baru dibuka dan tidak menggunakan akaun terbabit sepanjang tempoh kes ini diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, kedua mangsa menyedari sudah diperdaya selepas membaca satu artikel berkenaan ‘Phone Scam’ di laman akhbar.

Katanya, mangsa kemudian membuat semakan ke atas akaunnya dan mendapati wang dalam akaun berkurang sebanyak RM500,000 dan RM158,000.

“Semua wang terbabit adalah hasil daripada wang simpanan kedua-dua mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang mana ramai mangsa terpedaya.

“Orang ramai juga bolehlah merujuk kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322243 atau hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 atau hubungi National Scam Response Center (NSRC) ditalian 997,” katanya. BH