GUA MUSANG — Seorang lelaki Orang Asli suku kaum Batek dikhuatiri diserang harimau ketika memancing di Sungai Aring 5 di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Halim Asing, 27, dari Kampung Aring 5, dipercayai memancing bersama anak saudaranya, Alang Kuang, berusia lapan tahun.
Bapa Alang, Kuang Camang, 31, berkata, Alang mendakwa melihat Halim diserang harimau ketika memancing.
Katanya, mereka berlapan iaitu Kuang bersama isteri dan empat anak serta mangsa dan bapanya dalam perjalanan ke Kampung Aring 5 sejak Sabtu lalu dengan berjalan.
“Sebelum Ramadan lalu, kami berlapan ke Kampung Cangkung, Jerantut, Pahang dan tinggal di kampung itu selama sebulan.
“Sabtu lalu, kami membuat keputusan pulang ke Aring 5 dengan berjalan dan pada jam 11 pagi semalam, kami sampai di Hulu Sungai Aring 5.
“Kami mendirikan khemah di pinggir sungai untuk bermalam di hutan berkenaan kerana ingin menangkap ikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kuang berkata, kira-kira jam 11.30 pagi, Halim mengajak Alang menemaninya memancing di sungai.
Bagaimanapun, katanya, Alang kembali kira-kira sejam kemudian dalam keadaan ketakutan dan memaklumkan Halim diserang seekor harimau.
“Menurut Alang, bapa saudaranya itu diserang seekor harimau ketika mereka memanding. Alang yang terkejut terus terjun ke sungai dan berenang menyelamatkan diri sebelum memberitahu kami yang berada kira-kira 500 meter dari lokasi.
“Kami pergi ke tempat kejadian dan mendapati Halim tiada di kawasan berkenaan.
“Kami bertolak ke Kampung Aring 5 dengan berjalan pada jam 1.30 tengah hari dan tiba pada jam 5.30 petang.
“Kami terus melaporkan perkara itu kepada orang kampung dan penghulu. Kami terpaksa menyelamatkan diri kerana takut menjadi mangsa harimau itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan orang hilang pada jam 10 malam tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat oleh anggota keselamatan digerakkan hari ini. BH