SHAH ALAM — Syarikat utiliti perlu mengambil berat aspek penurapan dan baik pulih jalan raya selepas melakukan kerja mengorek bagi penyelenggaraan utiliti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata syarikat berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan spesifikasi penurapan jalan bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.
“Kita menerima banyak aduan daripada pengguna yang mana ada syarikat tidak menjalankan tugas pemulihan semula jalan selepas selesai melakukan penyelenggaraan utiliti.
“Memang ada peraturan apabila jalan itu perlu dikorek untuk peralihan utiliti seperti paip, kabel dan sebagainya.
“Itu dibenarkan dan syarikat berkenaan bertanggungjawab untuk membuat semula jalan dengan kos ditanggung.
“Justeru, saya ingin mengingatkan syarikat utiliti supaya jangan biarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menanggung masalah selepas mereka membuat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persimpangan Eco Ardence di Setia Alam dekat sini, hari ini.
Hadir sama Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah.
Alexander diminta mengulas tindakan syarikat yang melakukan kerja mengorek dan mengambus jalan tanpa spesifikasi, hingga mengganggu kelancaran perjalanan pengguna.
Sementara itu, mengulas mengenai persimpangan Eco Ardence, Alexander berkata, projek kos RM50 juta itu ditanggung sepenuhnya oleh EcoWorld selaku pemaju.
“Persimpangan ini bertujuan menyediakan laluan lebih cekap dan mudah untuk penduduk dan komuniti setempat mengakses Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) dan ke perbandaran Eco Ardence.
“Penambahbaikan infrastruktur ini bertujuan meningkatkan keselamatan dengan menghapuskan keperluan membuat pusingan U sebelum plaza tol yang mempunyai risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Persimpangan ini juga akan mengurangkan masa perjalanan dengan ketara dan meningkatkan kebolehcapaian keseluruhan, memberi manfaat kepada penduduk Eco Ardence dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja di persimpangan ini bermula pada September 2019 dan siap pada 26 Mac lalu.
BH Online