Cuti kerana sakit gigi antara tertinggi

(Foto hiasan – Unsplash)

KUALA LUMPUR — Sakit gigi adalah salah satu sebab tertinggi ketidakhadiran ke tempat kerja termasuk sekolah.

Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA), Dr Lim Chiew Wooi, berkata ia secara tidak langsung menggambarkan sakit gigi boleh menjejaskan ekonomi secara tidak langsung.

Jika kesihatan gigi tidak dijaga atau gagal mendapatkan rawatan, beliau berkata keadaan seseorang boleh memburukkan sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

“Akhrinya, kesihatan mulut yang buruk boleh menjejaskan kesejahteraan sosial dan psikologi pada keseluruhan.

“Memandangkan kesihatan mulut yang baik menyumbang secara positif kepada kesihatan umum, kesejahteraan dan kualiti hidup kita, kita mesti menjaga mulut dengan baik dan berbangga dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada berucap di majlis Pelancaran Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan sempena sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2023 di sini semalam.

Menyentuh makanan boleh menjejaskan kesihatan gigi, Dr Chiew Wooi berkata semua makanan manis tidak baik untuk gigi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata berlaku trend penggunaan gula halus berlebihan dalam makanan dan minuman rakyat negara ini.

Berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), katanya pengambilan gula untuk golongan dewasa adalah tidak lebih daripada 10 sudu teh sehari.

“WHO kemudian menyarankan pengambilan gula tidak melebihi lima sudu teh sehari dan ia adalah lebih baik.

“Kajian menunjukkan penggunaan gula ringkas telah menyumbang kepada kadar karis, penyakit gusi, obesiti dan diabetes yang tinggi di Malaysia.

“Mungkin itulah sebabnya cukai gula dikenakan pada 2019. Namun, kami berharap lebih banyak usaha dapat dilakukan untuk mengurangkan beban kesihatan yang disebabkan oleh pengambilan gula yang berlebihan,” katanya.

Sumber — BH