KUALA LUMPUR — Suspek utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi ‘Counter Setting’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba di Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Sebelum ini, suspek ditahan SPRM Negeri Sembilan pada Rabu lalu dan direman pada Khamis hingga 23 September ini selepas permohonan dibuat SPRM.
“Semalam suspek dibawa ke Pejabat SPRM Selangor bagi membantu siasatan kes yang turut disiasat oleh SPRM Selangor,” katanya.
Majistret Mohd Sabri Ismail membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman suspek direman tujuh hari hingga 28 September ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek berkenaan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
BH ONLINE