Aku Nak Kata

  • Anda bukan kawan saya?

    Anda bukan kawan saya?
    Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga menandakan Hari Peringatan Holocaust di Dewan Peringatan di Yad Vashem, Pusat Peringatan Holocaust Dunia, di Baitulmaqdis, 6 Mei 2024. REUTERS

    Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk menangguhkan penghantaran senjata ke Israel, menurut laporan media.

    Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bagaimanapun berkata pada Khamis, ancaman AS untuk menahan beberapa senjata tidak akan menghalang Israel daripada meneruskan serangannya di Gaza, menunjukkan ia mungkin meneruskan pencerobohan ke atas bandar Rafah yang penuh sesak menentang kehendak sekutu terdekatnya.

    Presiden Joe Biden menggesa Israel supaya tidak meneruskan operasi sedemikian kerana bimbang ia akan memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di kawasan Palestin. Pada Rabu, beliau berkata AS tidak akan menyediakan senjata ofensif (menyerang) untuk serangan Rafah, meningkatkan tekanan ke atas Netanyahu.

    Tetapi dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis, Netanyahu dilaporkan berkata “jika kami perlu berdiri sendiri, kami akan berdiri sendiri. Jika perlu, kami akan melawan dengan kuku jari kami. Tetapi kami mempunyai lebih daripada kuku jari.”

    Laporan-laporan media juga menunjukkan pegawai atasan Israel juga memberikan reaksi tidak menyenangkan terhadap keputusan AS itu.

    Malah jurucakap tentera tertinggi Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, juga kelihatan meremehkan kesan praktikal mana-mana pegangan senjata. “Tentera mempunyai senjata untuk misi yang dirancangnya, dan untuk misi di Rafah juga – kami mempunyai apa yang kami perlukan,” katanya menjawab soalan pada sidang akhbar sebagaimana dipetik.

    Israel kini bersendirian. Dengan sekutu terdekatnya, AS, sudah tidak sehaluan. Kehendak dua pemimpin ini tidak serupa. Malah negara-negara dunia juga tidak bersetuju dengan tindakan Israel untuk menyerang Rafah.

    Ketika dia memekakkan telinga terhadap laungan dan kecaman pemimpin negara-negara dunia dan komuniti siswa di pelbagai universiti, apakah lagi yang hendak dikatakan oleh Netanyahu dan pegawainya terhadap Biden?

    Dalam kesendirian itu, apakah terdetik pada Netanyahu ungkapan bernada kecewa dan sendu (pilu) bahawa “anda bukan kawan saya”?

  • Mengapa siswa di AS, Eropah protes untuk Gaza?

    Pelajar membantah perang di Gaza, di sebuah perkhemahan di perkarangan Universiti Cambridge, England, Selasa 7 Mei 2024. (Joe Giddens/PA melalui AP)

    Mengapa protes siswa berlaku di banyak tempat terutama di Amerika Syarikat, Australia, Britain dan negara-negara Eropah? Jawapan anda mungkin pelbagai, namun di sini Editoreporter mahu menonjolkan bahawa akal golongan muda iaitu siswa dalam konteks ini masih segar, tahu mempertimbangkan antara kebaikan dan keburukan, keadilan dan kezaliman, erti belas kasihan dan kemanusiaan, berbanding akal orang yang sudah tua bangka, tercemar dengan pelbagai kepentingan menurut kepuasan nafsu.

    Tindakan Israel juga sangat keterlaluan — mengebom, membedil membabi buta sehingga nyawa kanak-kanak melayang begitu saja, seolah-olah tiada harga, justeru tiada hairan masyarakat dunia membenci, mengecam jenayah Israel terhadap penduduk Gaza.

    Paling menonjol, tindakan Israel yang membunuh orang awam menunjukkan betapa mereka menebal dengan kebodohan, kerana menggunakan bom yang mahal lagi canggih terhadap orang awam yang tiada apa-apa senjata pun. Bukankah tindakan begitu suatu kebodohan? Jika orang cerdik atau pintar, menggunakan senjata pada sasaran yang perlu dan patut, apatah lagi persenjataan itu pula diimport dan dibayar dengan wang. Malah, senjata yang canggih biarlah sepadan dengan musuh yang menjadi sasaran. Jika masih tak faham, ambil contoh – kamu menggunakan bom atau peluru berpandu hanya untuk membunuh anak ayam — adakah cerdik?