KOTA KINABALU — Tindakan pantas anggota bomba dapat menyelamatkan nyawa tiga mangsa terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Bantayan, Inanam, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.53 pagi.
Katanya, 13 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan rumah dua tingkat dengan bahagian tangga yang terbakar.
“Ketika kejadian, tiga mangsa terperangkap di tingkat satu dan diselamatkan oleh pasukan bomba menggunakan tangga melalui tingkap,” katanya di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran sebelum operasi ditamatkan jam 3.42 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
BH ONLINE