KUCHING — Seorang pengurus acara berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan kerja sambilan dengan sekadar mendapat komisen RM20,000 daripada RM1.2 juta yang dilaburkannya.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditawarkan kerja sambilan iaitu jual beli secara dalam talian oleh seorang wanita daripada aplikasi Tinder yang memperkenalkan diri sebagai Emma dari Vietnam pada 14 Mei lalu.
Katanya, mangsa diberitahu akan mendapat pulangan 1.1 peratus jika mengikut kerja sambilan berkenaan dan juga mendapat komisen jika barangan yang mangsa jual di dalam laman sesawang diberikan suspek terjual.
Susulan itu, Mohd Azman berkata mangsa berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan juga Telegram, serta diterangkan secara panggilan video berkenaan kerja sambilan itu.
“Mangsa diberikan pautan clickmart.site dan ID bagi aplikasi berkenaan.
“Mangsa kemudian membuat 27 kali transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank yang berbeza antara 15 Mei sehingga 13 Julai menyebabkan kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM1.2 juta.
“Sehingga kini, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM20,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Azman berkata mangsa menyedari dirinya ditipu apabila tidak lagi mendapat komisen seperti dijanjikan suspek.
BH Online