SEMPORNA — Polis menahan seorang pelancong lelaki warga asing selepas rakaman aksi videonya yang berbogel di balkoni sebuah hotel di sini, tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata lelaki warga China berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam, pada Khamis.
Beliau berkata, tangkapan ke atas suspek susulan rakaman video berdurasi sembilan saat yang memaparkan seorang lelaki keluar dari bilik hotel tanpa pakaian di balkoni sebuah hotel yang menghadap jalan raya.
“Aksi lelaki itu bagaimanapun telah dirakam oleh orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum tersebar di laman media sosial,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.
Mohd Farhan berkata, suspek kini direman empat hari sehingga 12 Jun untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan berkelakuan lucah di tempat awam dan boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Individu yang merakam kejadian juga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khadijah Mohd Seruji atau tampil di IPD Semporna atau mana-mana balai berdekatan,” katanya. BH