Bekas eksekutif kanan MARA didakwa 5 pertuduhan rasuah RM45,000

KUALA LUMPUR — Bekas pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) didakwa atas lima pertuduhan menerima rasuah RM45,000 yang didakwa dilakukannya lapan tahun lalu.

Fauzi Yaacob yang juga bekas Eksekutif Kanan Bahagian Pembangunan Industri dan Infrastruktur MARA bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad.

Tertuduh, 55, didakwa menerima RM45,000 melalui akaun Public Islamic Bank milik Amierul Shabir Hariri daripada Pengarah Kip Care Sdn Bhd, Abdul Rahman Richard Abdullah di cawangan Public Bank Kampung Baru antara 11 September 2015 dan 15 Februari 2016.

Kesalahan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syahzad Azad Sanusi memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Zali Shari yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya adalah pencari nafkah tunggal.

“Anak guam saya juga sedang menjalani rawatan mata di Hospital Selayang dan beliau sudah memberikan kerjasama sepenuhnya semasa siasatan,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM di sini setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

BH ONLINE