Bapa cedera dahi, terkena alat kawalan jauh tv dibaling anak

Foto hiasan – Unsplash

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun cedera dahi akibat terkena alat kawalan jauh televisyen dibaling anak lelakinya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi ketika mangsa serta anak lelakinya yang berusia 41 tahun berada di rumah mereka di Taman Bukit Teratai, dekat sini

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata siasatan mendapati kejadian berpunca rasa tidak puas hati si anak yang tidak dibenarkan menonton televisyen oleh bapanya.

“Berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum suspek kemudiannya membaling alat kawalan jauh televisyen dan terkena pada bahagian kepala pengadu sehingga mengalami kecederaan.

“Pengadu kemudian mendapat rawatan di Hospital Ampang dan pihak hospital mengesahkannya mengalami kecederaan tisu pada dahi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan aduan yang diterima polis, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di kediamannya, kira-kira jam 2.20 petang hari kejadian.

“Suspek berusia 41 tahun dan tidak bekerja. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan keputusan ujian saringan urin didapati negatif sebarang dadah.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Majistret Ampang, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan,” katanya.

Menurut Mohamad Farouk, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu. 

Sumber — BH