JOHOR BAHRU — Seorang anggota konstabel polis yang sedang menjalankan tugas dalam Op Tapis Khas Semalaysia di sekitar bandar raya ini, parah ditikam di rusuk belakang oleh seorang individu yang cuba ditahan, awal pagi tadi.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian berlaku di tempat letak kereta berbayar, di Jalan Ungku Puan, di sini kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
Katanya, mangsa yang berusia 22 tahun mengalami luka dalaman akibat ditikam dengan sebilah pisau di bahagian rusuk belakang sebelah kiri oleh seorang suspek lelaki yang ditahan.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan setugas yang lain sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu termasuk suspek yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Secara tiba-tiba suspek dipercayai warga tempatan cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam oleh suspek.
“Pemeriksaan dijalankan seorang pegawai dan lima anggota polis termasuk mangsa. Seorang anggota telah datang membantu mangsa tetapi suspek melarikan diri.
“Anggota polis terbabit telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan. Doktor memaklumkan keadaan mangsa stabil,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Raub berkata, pihak polis sedang giat mengesan suspek.
Katanya, suspek berpakaian baju lengan panjang hitam, seluar jeans panjang hitam, berselipar, bertopi dan berpelitup muka hitam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh terus menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
BH Online