KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tatatertib ke atas 5,073 pegawai kanan dan anggota rendah sejak tahun 2020 hingga Mei 2023 lalu.
Daripada jumlah itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Seri Azri Ahmad, berkata seramai 479 orang dilucut hak emolumen, 940 orang dikenakan didenda, manakala 2,970 orang diambil tindakan amaran.
Katanya, seramai 127 orang ditangguhkan pergerakan gaji diikuti, 46 orang diturunkan gaji, sementara 71 orang pegawai dan anggota diturunkan pangkat dan 440 orang dibuang kerja,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan di antara Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama ketua pengarang agensi media tempatan dan antarabangsa di Bukit Aman.
Perjumpaan itu turut dihadiri Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Kamaruddin Md Din; Pengarah Pengurusan Datuk Azmi Abu Kassim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Azri berkata, dari segi pecahan kakitangan yang dibuang kerja mengikut tahun, pada 2020 seramai 138 pegawai dibuang kerja, disusuli 117 orang (2021), 154 orang (2022) dan 496 orang bermula Januari hingga Mei 2023.
Katanya, antara tujuh jenis hukuman tatatertib yang dilaksanakan sejak 2020 itu ialah berbentuk amaran.
“Hukuman ini yang paling banyak dikeluarkan kepada pegawai dan anggota iaitu pada tahun 2020 membabitkan seramai 857 orang, manakala pada tahun 2021 seramai 913 anggota dikenakan amaran, disusuli 891 anggota (2022) dan akhirnya 309 anggota (Jan-Mei 2023).
“Data ini menunjukkan kita tidak berkompromi dengan pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan dalam tugas,” katanya.
Beliau berkata, jika ada tuduhan serius seperti rasuah dan salah laku, siasatan akan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
BH