SEREMBAN — Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk menyertai satu pelaburan sehingga menyebabkan mangsa kerugian lebih RM300,000 dalam tempoh Disember 2021 hingga April 2022.
Bagaimanapun, tertuduh Pang Mui Fong, 49 dan Chua Fui Lee, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali, selepas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh didakwa secara bersama-sama dengan curangnya menipu seorang lelaki berusia 50 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk menyertai pelaburan ujian COVID-19.
Tertuduh mendorong mangsa untuk membuat 17 transaksi pembayaran berjumlah RM337,000 bagi urusan itu yang mana lelaki itu tidak akan menyerahkan wang sekiranya tidak diperdayakan kedua-dua tertuduh.
Kesalahan dilakukan dari 17 Disember 2021 hingga 20 April 2022 di Bandar Seremban, di sini.
Justeru, tertuduh bersama-sama telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan dengan sebat serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya, M Pusspa mencadangkan mahkamah supaya menetapkan wang jaminan RM25,000 bagi setiap tertuduh.
Peguam Kevin Mahendran yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu wang jaminan lebih rendah kerana tertuduh pertama (Mui Fong) hanya bekerja sebagai kerani akaun dan sudah menghadapi empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen dengan wang jaminan ditetapkan RM22,000.
“Tertuduh kedua (Fui Lee) adalah pesakit barah (kerongkong dan hidung) tahap empat yang kini masih menjalani rawatan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya memutuskan wang jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
BH Online