2 maut, tiga cedera lori dan treler bertembung

TEMERLOH — Dua maut manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan lori dan treler di Jalan Damar, dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam menyebabkan dua penumpang lori iaitu lelaki warga Bangladesh dan Pakistan masing-masing berusia 37 dan 38 tahun meninggal dunia.

Turut cedera, pemandu dan penumpang lori masing-masing berusia 28 dan 30 tahun, selain pemandu treler.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dari arah Raub menghala Kuantan terbabas sehingga menyebabkan ia bertukar haluan ke laluan bertentangan.

“Sebuah treler dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan lori menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke dalam gaung di sebelah kanan jalan sejauh 20 meter,” katanya.

“Dua penumpang lori cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang cedera. Turut cedera pemandu treler,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE