KUALA LUMPUR — Polis memburu seorang lelaki tempatan yang menghilangkan diri selepas disyaki menetak dua lelaki di Cheras, awal pagi semalam.
Suspek berusia 45 tahun berasal dari Mentakab, Pahang, dipercayai bergaduh dengan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun yang dipercayai mengganggu isterinya.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 4 pagi semalam, di Jalan Mutiara Raya, Cheras, di sini.
“Anggota Ronda Cegah Jenayah dari Balai Polis Cheras yang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat dari orang awam mendapati terdapat kejadian pergaduhan dan tetak membabitkan dua lelaki tempatan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mangsa yang ditetak mengalami cedera parah,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Zam Halim berkata, bertindak atas maklumat yang diperoleh, Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, menahan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun di kawasan perumahan Taman Seri Aman, Cheras, Selangor.
“Tangkapan ke atas wanita ini dilakukan susulan dia berkemungkinan bersubahat dengan suspek utama kes ini disebabkan dia berada bersama suspek di lokasi kejadian semasa kejadian berlaku,” katanya. BH