1,565 kandungan media sosial langgar kesalahan diturunkan

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama penyedia platform media sosial menurunkan 1,565 kandungan yang melanggar kesalahan piawaian panduan komuniti yang ditetapkan sejak 2022 hingga April lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata sejak penubuhan pasukan tugas khas bagi menangani berita palsu dan ‘3R’ yang merujuk ‘race‘ (kaum), ‘religion‘ (agama) dan ‘royalty‘ (institusi Diraja) pada 1 Disember lalu, sebanyak 195 kandungan bersifat sensitif atau provokatif dikesan dengan 80 peratus daripadanya diturunkan dengan kerjasama penyedia platform.

“Sejak penubuhan ‘task force‘ tersebut, pihak MCMC telah secara proaktif menjalankan aktiviti pemantauan dan telah mengenal pasti kandungan yang berpotensi menjadi berita palsu,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

RUU berkenaan kemudian diluluskan selepas dibahaskan empat Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, Nie Ching berkata, RUU Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 adalah bagi mengesahkan kutipan bayaran program televisyen yang dibuat Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dari 15 Mac 2001 hingga 28 Februari 2022 dan supaya ia lebih teratur, sekali gus mengikut undang-undang.

Katanya, RTM mengenakan kadar bayaran ke atas program televisyen dimilikinya berdasarkan Kadar Bayaran Program RTM yang diluluskan Perbendaharaan pada 2 Februari 2000 dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Mac 2001.

Beliau berkata, selain itu RTM juga menjana kutipan hasil RM1,762,530 bagi pihak kerajaan bermula 15 Mac 2001 sehingga 28 Februari 2022, selepas Jemaah Menteri bersetuju supaya Kadar Bayaran Perkhidmatan RTM bagi salinan program televisyen dan caj perkhidmatan untuk penyediaan sari kata serta terjemahan dikenakan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, katanya, kutipan bagi program televisyen ditangguhkan setelah didapati bahawa tiada pewartaan dibuat bagi pengenaan bayaran tersebut dan tidak selari dengan ketetapan ‘Arahan Perbendaharaan WP 10.1 Penetapan Kadar Bayaran dan Borang Kerajaan’. BH memetik Bernama